Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua. Saya menulis di sini kerana bagi saya sekarang, ini sahajalah wadah terbaik untuk saya berkongsi serta melepaskan apa yang terbuku di hati saya sekarang ini, sejak akhir-akhir ini. Sebagai permulaan saya akan memperkenalkan diri saya dengan sebaik mungkin.
   Saya berasal dari Temerloh, Pahang, anak kepada seorang guru dan yang kedua dari empat adik beradik. Berusia 28 tahun dan telah berkahwin. Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana, keluarga pembaca Utusan Malaysia sejak saya kecil dan keluarga yang pada dasarnya penyokong kerajaan Barisan Nasional pimpinan UMNO. Menerima pendedahan dari Allahyarham bapa saya, saya sangat peka dan cenderung ke arah mengamati perkembangan politik - baik tempatan mahu pun peringkat antarabangsa. Saya masih ingat pada tahun 1981 (saya berumur 11 tahun) yang saya menonton di tv para penyokong Tun Hussein Onn memegang pemidang bertulis "Kami Masih Perlukan Mu" selepas beliau mengumumkan akan meletak jawatan atas sebab-sebab kesihatan. Dan sejak 16 Julai 1981 bila Dr. Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 4, saya mula mengagumi beliau.
   Saya percaya Perdana Menteri kita yang satu ini; Dr. Mahathir, tidak perlu diperkenalkan tentang reputasinya sebelum ini. Memetik kata Anwar Ibrahim; "mesti yang tertinggi, yang terhebat, yang terbesar, termasuklah istana rasmi beliau mahunya yang terindah dan yang terbesar di dunia". Pada pandangan saya beliau memang seorang yang bijak, seorang salesman atau businessman yang sangat bagus. Saya boleh agak dan faham dengan cara beliau mewujudkan tarikan-tarikan kepada pelancong di Malaysia, memperkenalkan negara ini di mata dunia dan sebagainya. Saya juga mengakui kagum dengan 'paradigm shift' beliau serta cara beliau yang berpandangan jauh dan bercita-cita tinggi. 
   Sewaktu kes M.Nasir berkata "Siapa Mahathir ?" sayalah antara yang paling marah sekali. "Tarik balik saja kerakyatan M. Nasir tu", fikir saya. Marah betul saya, berserta dengan jutaan rakyat Malaysia yang lain.
   Semasa perasmian KLIA, saya sedang bercuti di Sabah dan sedang menginap di sebuah hotel dengan isteri saya. Sedang enak-enak makan di restoran di bangunan hotel tersebut, tiba-tiba teringat ada siaran langsung di tv. Kelam kabut menyudahkan makan kerana ingin balik ke bilik untuk mendengar kata-kata Perdana Menteri yang kita sayangi di tv. Selepas itu pula di dalam internet, ada pula orang yang memburuk-burukkan KLIA dan kisah-kisahnya yang berkaitan dengan Perdana Menteri - oooh!...marah! Bela bermati-matian. Baru-baru ini, sewaktu perasmian Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, saya turut berada di sana, mendengar ucapan beliau sambil sibuk memerhatikan beliau dengan menggunakan teropong. Sangat minat, sangat hormat dan sangat kagum. Balik dari acara tersebut, terdengar pula seorang budak belasan tahun bercakap mengata beliau sebagai "dah nyanyuk", "nak masuk kubur" dan sebagainya. Tahu apa perasaan saya pada masa itu ? Ingin mencekak kolar baju budak itu seperti samseng dan tanya dia,"Awak tahu berapa banyak kita terhutang budi dengan Dr. Mahathir ? Tahu tak berapa banyak pembangunan yang dia telah buat untuk Malaysia ? Betapa bertuah kita mempunyai seorang Perdana Menteri seperti dia ?" Anda boleh katakan saya sudah separuh fanatik.
   Sehinggalah 2 September, 1998.
   Sedang makan malam bersama isteri. Di depan tv. Buletin Utama TV3. Terhenti masa rasanya. Tidak percaya. Sekejap kemudian seorang teman menelefon - "betul apa yang kita dengar", katanya. Tunggulah, fikir saya. Esok lusa kita tahulah penjelasannya.
   Dan sehingga hari ini, 7 Oktober 1998 sudah terlalu banyak yang kita telah dengar. Antara kita sudah ada yang telah memihak; ke kiri atau ke kanan. Ada juga yang masih belum dapat membuat keputusan.
   Bagi saya sekarang, saya rasa tidak perlu untuk memikirkan tentang samada betul atau tidak Anwar Ibrahim melakukan perkara tersebut. Dah penat. Dah pening. Sekejap nak condong ke sini. Dengar pula kawan sana cakap nak condong ke sana. Lama-lama boleh gila.
   Saya cadangkan lebih baik kita adili perkara yang nampak di mata. Yang orang tak boleh nak sembunyikan, yang orang tak boleh buat kalau berdua sahaja. Apa ? Perdana Menteri dan semua pemimpin-pemimpin di bawah naungannya serta mesin propaganda (media) dalam negara. Pada saya sekarang, dah jadi beban untuk fikirkan Anwar salah atau tidak. Sebab ? Sebab PM dan kaum kerabatnya sudah terlalu banyak bercakap. Anwar dan kawan-kawannya juga banyak bercakap dulu. Tapi masalahnya media 'tolong' pula cakapkan balik apa yang mereka cakap. Mujur sekarang kita sudah ada internet, boleh jugalah dengar apa orang lain kata atau lapor. Itu pun dulu saya sangat percaya dengan PM bila dia kata media asing ada agenda dan dengki dengan kejayaan kita. Percaya penuh, pemimpin kita cakap.
   Di atas segala pertentangan antara kedua-dua pihak ini, saya cuma nak tekankan satu perkara. Jika benarlah segala tuduhan yang dikenakan ke atas Anwar, kenapa mesti main sembunyi-sembunyi ?
   Paling utama sekali, KENAPA SEMBUNYIKAN BERITA ?  Di bawah tajuk ini sahaja sudah berapa banyak yang boleh diulas.
   Tengok kepada apa yang dilaporkan oleh TV3 (RTM tak payah cakaplah), Utusan Malaysia, Berita Harian dan Harian Metro. Memutar belitkan isu ujian DNA. Mengecilkan angka kehadiran orang ramai di perhimpunan-perhimpunan berkaitan Anwar Ibrahim. Kenyataan akhbar pendirian Majlis Peguam - tidak disiarkan. Kenyataan akhbar oleh Dato' Nallakarupan - jangan harap nak dapat tengok di akhbar. Mengeksploitasikan kehadiran Anwar di pentas DAP - apa isu sebenarnya tidak diberitahu. Kenapa Lim Guan Eng dipenjara ? Kenapa Anwar tandatangan petisyen rayuan kepada Yang Dipertuan Agung ? Tidak lupa juga, kenapa kaset "Manusia Bertukar Menjadi Khinzir" diharamkan ? Apa isu sebenarnya ? Kenapa tiada penafian tentang isu sebenar berkenaan gejala murtad di Malaysia ? Laporan tentang pemeriksaan kesihatan Anwar yang mendakwa dipukul - mana ? Teguran mahkamah juga diputar belit - dihalakan pula kepada media asing, internet serta penyokong keadilan di pihak Anwar. Dalam pada itu Najib Razak sempat berkata untuk membincangkan keputusan mahkamah itu di MT - oh lupa...MT  lebih tinggi daripada mahkamah rupanya. Banyak lagi saudara-saudari sekalian. Faham-faham sendiri sudahlah.
   Kemudian, keadilan terhadap orang kena tuduh. Tidakkah suatu yang menghairankan bila tertuduh (Sukma dan Dr. Munawar) tidak dibenarkan memilih peguam mereka sendiri ? Peguam-peguam Anwar juga telah tidak diberikan akses untuk menemui pelanggan mereka - apa jenis undang-undang ini ? Perlulah saya sebut sekali lagi di sini yang saya tidak mengatakan samada Anwar itu bersalah atau tidak, tetapi berilah peluang untuk beliau untuk membela diri mengikut amalan biasa.
   Sekarang, kempen Satu Komputer Di Sebuah Rumah oleh Utusan Malaysia sudah berjaya. Jangan risau, sudah ramai yang mempunyai akses kepada internet. Rakyat yang tinggal nun jauh di ceruk, di kampung-kampung pun sudah tahu untuk menilai. Tunggu dan lihat sahajalah keputusan penilaian itu nanti dalam pilihanraya akan datang.
   Secara peribadi, perkembangan sejak akhir-akhir ini sangat mendukacitakan saya. Satu kesan yang sangat ketara ialah tiada rasa kebanggaan tentang Sukan Komanwel Ke 16 baru-baru ini, yang dikatakan telah dijayakan dengan cemerlang. Saya kehilangan saat-saat untuk berbangga tersebut kerana terdapat rakyat di negara ini yang tidak mendapat pengadilan mutlak.
   Sekali lagi, saya tidak dapat tidak harus mengakui yang Dr. Mahathir telah membawa banyak perubahan untuk negara kita yang tercinta ini, Malaysia. Cuma mungkin berkuasa terlalu lama menjadikan beliau sedikit terlajak dari landasan asalnya.
   Kesimpulannya, Dr. Mahathir secara individu, kerajaan Malaysia di bawah pemerintahan UMNO dan pemimpin-pemimpinnya serta mesin-mesin propaganda yang sangat pro-kerajaan telah kehilangan saya, sebagai seorang yang selalunya berhaluan kanan dan menyebelahi anda sebelum ini. Anda semua tidak lagi mempunyai wibawa di mata saya, tidak lagi untuk dihormati, jauh sekali untuk dikagumi. Reputasi anda telah menjadi sejarah. Maka saya berasa tidak bersendirian dalam berpendirian seperti ini, jelaslah, keyakinan terhadap anda semua semakin luntur. Ambillah peluang ini untuk mengira hari-hari terakhir anda, sekiranya sebelum ini anda sering terlupa.
 
Editor
AnwarLinks 
https://members.tripod.com/~anwarlinks/

Nota: Anda tidak dipaksa untuk bersetuju dengan pendapat saya. Sekiranya terdapat sebarang komen atau surat untuk disiarkan, sila hantar kan kepada saya di anwarlinks@hotmail.com. Menulislah dengan waras, dan jauhkan dari mengeluarkan kata-kata kesat kepada mana-mana pihak. Terima kasih.
BARU! Reaksi kepada artikel ini.

FastCounter by LinkExchange

© Copyright of AnwarLinks 1998. All rights reserved.